29 Mac 2012

Kementerian Pelajaran iktiraf 14 lagi SBT


KEMENTERIAN Pelajaran mengiktiraf 14 lagi Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) membabitkan 10 sekolah rendah dan empat sekolah menengah mengikut kohort ketiga tahun ini, menjadikan jumlah keseluruhan sekolah itu sebanyak 66 di seluruh negara.

Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan, Kementerian Pelajaran, Shabudin Hasan, berkata kementerian menyasarkan semua SBT menjadi penanda aras kecemerlangan pendidikan dan menjadi contoh sekolah lain.

“Sekolah terbabit juga mempunyai tradisi budaya kerja sangat tinggi dan cemerlang dengan modal insan nasional berkembang secara menyeluruh dan berterusan,” katanya ketika berucap ketika merasmikan Program Pengantarabangsaan SBT Sekolah Kebangsaan (SK) Setiawangsa dan Sekolah Dasar (SD) Al-Zahra, Jakarta, Indonesia di SK Setiawangsa, Kuala Lumpur, baru-baru ini. Hadir sama, Ketua Rombongan SD Al-Zahra, Prof Dr H Darwis Hude; Timbalan Pegawai Pelajaran, Pejabat Pelajaran Wilayah Keramat, Kuala Lumpur, Mohd Najib Ab Rahman; dan Guru Besar SK Setiawangsa, Ruslan Madon.



Delegasi SD Al-Zahra meliputi 33 murid dan 15 guru serta Pegawai Kementerian Pendidikan republik itu.

Pelajar terbabit menjadi anak angkat masyarakat sekitar sekolah termasuk anggota Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Setiawangsa selama tiga hari dua malam.

Lawatan itu juga adalah program timbal balik membabitkan kedua-dua sekolah dengan SK Setiawangsa mengadakan kunjungan sama ke SD Al-Zahra pada Jun, tahun lalu.
Shabudin berkata, Program Pengantarabangsaan anjuran SK Setiawangsa bertujuan memberi pendedahan kepada murid dalam kurikulum dan kokurikulum di peringkat antarabangsa.

Katanya, program murni itu membolehkan peserta mengenali budaya luar negara dalam ikatan kekeluargaan serta semangat serumpun antara kedua-dua negara, sekali gus mengukuhkan hubungan diplomatik.

“Kami harap objektif penganjuran program seperti perkongsian idea berkaitan pendidikan dan kebudayaan serantau dapat dicapai melalui interaksi peserta kedua-dua negara.

“Ia dapat menanam semangat dan keyakinan yang tinggi peringkat global,” katanya.

Ruslan berkata, sekolahnya mengadakan program pengantarabangsaan bersama SD Al-Zahra berdasarkan persefahaman dalam Program `Sister School’ yang dipersetujui sebelum ini.

Sumber:
 

SAMBUTAN HARI GURU DAN PEKERJA