KEMENTERIAN Pelajaran mengiktiraf 14 lagi Sekolah Berprestasi Tinggi
(SBT) membabitkan 10 sekolah rendah dan empat sekolah menengah mengikut
kohort ketiga tahun ini, menjadikan jumlah keseluruhan sekolah itu
sebanyak 66 di seluruh negara.
Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Sekolah Berasrama Penuh
dan Sekolah Kecemerlangan, Kementerian Pelajaran, Shabudin Hasan,
berkata kementerian menyasarkan semua SBT menjadi penanda aras
kecemerlangan pendidikan dan menjadi contoh sekolah lain.
“Sekolah terbabit juga mempunyai tradisi budaya kerja sangat tinggi
dan cemerlang dengan modal insan nasional berkembang secara menyeluruh
dan berterusan,” katanya ketika berucap ketika merasmikan Program
Pengantarabangsaan SBT Sekolah Kebangsaan (SK) Setiawangsa dan Sekolah
Dasar (SD) Al-Zahra, Jakarta, Indonesia di SK Setiawangsa, Kuala Lumpur,
baru-baru ini. Hadir sama, Ketua Rombongan SD Al-Zahra, Prof Dr H Darwis Hude;
Timbalan Pegawai Pelajaran, Pejabat Pelajaran Wilayah Keramat, Kuala
Lumpur, Mohd Najib Ab Rahman; dan Guru Besar SK Setiawangsa, Ruslan
Madon.