22 Julai 2010

Bersama Bantu Kumpul Dana Aktiviti Sekolah - TPM

KUALA LUMPUR 21 Julai - Pihak swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), badan-badan amal dan anggota masyarakat yang prihatin diseru bersama membantu menyalurkan bantuan dana untuk menjalankan aktiviti murid di sekolah.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin berkata, tanggungjawab dalam menyediakan dana untuk pelbagai aktiviti sekolah juga tidak seharusnya ditanggung oleh kerajaan semata-mata.
"Aktiviti di dalam dan luar bilik darjah dapat membantu perkembangan minda dan emosi murid secara holistik.
"Ini termasuklah program motivasi, pendidikan kerohanian, latihan kepimpinan, kesukanan dan bimbingan kerjaya untuk membantu perkembangan potensi setiap murid.
"Namun, masalah kekurangan dana sering dihadapi pihak sekolah. Sumber yang terhad akan menghalang aktiviti untuk murid walaupun permintaan untuk menganjurkan pelbagai program di sekolah amat tinggi," katanya ketika berucap merasmikan ulang tahun ke-10 Yayasan Pendidikan Cheras (YPC) di sini hari ini.

Hadir sama isteri beliau, Puan Seri Norainee Abdul Rahman; Penaung YPC, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Pengerusi dan Pengasas YPC, Datuk Syed Ali Al-Habshee; Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Fuad Ismail.
Pada majlis sama, Muhyiddin turut menyampaikan Anugerah Guru Bestari, Anugerah Kepimpinan Dinamik untuk pengetua dan guru besar serta Anugerah Kepimpinan Mahasiswa anjuran YPC kepada penerima-penerima terpilih.
Muhyiddin yang juga merupakan Menteri Pelajaran menegaskan, pihak sekolah akan menghadapi kesukaran dalam melaksanakan program bermanfaat jika sumber dana yang diperoleh tidak mencukupi.
"Untuk itu, institusi sekolah perlu diperkasakan dan setiap sekolah perlu dibantu dalam mendapatkan dana mencukupi untuk menganjurkan aktiviti-aktiviti yang penting kepada perkembangan potensi murid.
"Dalam konteks ini, program sekolah angkat YPC menjadi satu contoh terbaik bagaimana tanggungjawab sosial dalam bidang pendidikan dapat dilaksanakan sebuah badan amal melalui kerjasama berterusan dengan pihak kerajaan.
"Saya berharap agar program sekolah angkat ini dapat dikembangkan ke sekolah-sekolah lain pada masa hadapan agar lebih ramai murid dapat menerima manfaatnya," ujarnya.
Muhyiddin turut memuji tindakan Syed Ali yang mempelopori program sekolah angkat di kawasan sekitar Cheras sejak 1994 dengan 19 sekolah diambil sebagai sekolah angkat sewaktu penubuhan YPC pada 2000 dan kini telah berjumlah 36 sekolah.
Sumber :

SAMBUTAN HARI GURU DAN PEKERJA